Dec 7, 2012

Di Manakah Hilangnya


-Di Manakah Hilangnya-
Di manakah Hang Tuah 5 bersahabat,
Ke mana hilang 5 penjuru?

Layar ditegak sauh ditarik,
Bersama ego pergi bermusafir,
Hilang keruan ombak membadai,
Hanya menghitung detik sebelum terdampar,
Akan terkubur bersama harapan serta impian.

Di manakah kapal yang dahulunya,
Kita belayar bersama merentas nusantara,
Merempuh ribut di tengah lautan,
Layar dinaikkan tanda bersedia,
Buka langkah mengingati syair,
Syair yang sudah kini lenyap,
Bagai cawan tiada airnya,
Akhirnya kehausan di tengah padang pasir.

Kini kita bertemu kembali,
Bersama perahu kehilangan nakhoda,
Walau ada yang belum tiba,
Kita asah keris tajam,
Langkah diorak jasad dibongkar,
Mencari mutiara di tengah nusantara.

Sediakan panji kita bersatu,
Berlayar kita di bawah dua tiang,
Mulakan perjalanan yang hilang,
Mencari kembali sisa yang ditinggalkan.

Walau bahang api mengekori,
Bukalah hati tenangkan fikiran,
Bila semua telah bersedia,
Kita kembali ke masa lampau.

Binalah panji,
Mengorak langkah,
Mencari syair yang ditinggalkan,
Kita menyanyi tanpa suara,
Kita bergerak tanpa langkah,
Mencari erti di luar kotak,
Kita berdiri tanpa bumi!

Apr 23, 2012

Hidup Ini

Ramai yang beranggapan,
Bahawa Hidup itu hanyalah makan dan bekerja,
Pernahkah kalian terfikir,
Jasad itu adalah benda mati,
Tidak dapat bergerak,
Andai tiada yang menghidupkannya.

Andai tiada yang hidup,
Tiada erti bagi jasadnya,
Maka itu,
Mengapa harus diutamakan,
Sedangkan waktu bulatan putih kan menjadi saksi,
Ia tidak akan berguna lagi.

Hidup itu terletak di dalam yang mati,
Itulah dipanggil diri,
Mengapa tidak pernah terlintas,
Untuk mengenal dan mencarinya.

Kenallah diri,
Kenallah ia akan Tuhannya,
Carilah ia,
Sebelum hidup meninggalkan yang mati.

Perjalanan Kini Bermula

Perjalanan kini bermula,
Kaki melangkah mengenal diri,
Hidup berdikari mencari ilmu,
Sebanyak yang boleh sebelum noktah.

Aku merantau,
Bersama teman seperjuanganku,
Menambah pengalaman,
Andai berguna kelak.

Aku merantau,
Mengenal Diri,
Mengenal Tuhan,
Mencipta sejarah sendiri.

Andai sejarah telah tercipta,
Aku redha ketentuan Ilahi,
Kerana aku hamba yang lemah,
Tanpa-Mu di sisi.

Aku merantau,
Mengenal erti kehidupan,
Mendidik diri,
Membantu yang lain,
Agar tidak melalui jalan yang gelap.

Aku bersyukur,
Dengan apa yang ku miliki,
Tapi mengapa hanya mampu menanam,
Tidak mampu untuk menyemai.

Feb 17, 2012

Secubit Peringatan

-Secubit Peringatan-

Janganlah kita menjadi badan sudah dua senyawa,
Sudah penat berkering air liur,
Tiada apa dapat dihadam.

Berhadap kasih mesra,
Balik belakang lain bicara,
Apa yang hendak ditunjukkan,
Laksana mencari sungai tiada berhulu.

Apakah berlurah di balik pendakian,
Andai itu yang dihajat,
Terpaksa kita berpatah arang berkerat rotan.

Puas sudah berkata siang melihat-lihat,
Berkata malam mendengar-dengar,
Bagai arang habis besi binasa.

Berapa panjang sarung begitulah kerisnya,
Janganlah menjadi bayang-bayang,
Tidak sepanjang badan,
Andai sebelum melakukan sesuatu,
Ukurlah baju di badan sendiri,
Umpama belum bergigi hendak mngunyah.

Jangan di bengkok batang daunnya,
Andai bengkok batangnya,
Maka bengkoklah bayangnya.

Belayar Ku Di Lautan

-Belayar Ku Di Lautan-

Ku belayar di lautan,
Tiada tepian,
Bagai hilang arah tujuan,
Seumpama tiada harapan.

Andai dapat mengubah haluan,
Andai dapat mengetahui apa di hadapan,
Pasti tidak ku keruan,
Mengetahui onak duri di hadapan.

Di atas kapal ku duduk sendirian,
Kepada Ilahi ku memohon,
Berikanlahku semangat dan kekuatan,
Agar dapatku teruskan perjalanan.

Pemancing Itu

-Pemancing Itu-

Pemancing itu,
Melabuhkan talinya ke dasar laut,
Memerhati langit,
Melihat awan,
Penuh imaginasi penuh harapan.

Pemancing itu,
Menunggu ikan memakan umpan,
Saban hari mencuba tiada tertangkap,
Hanya mampu termenung saat lampau,
Menunggu sesuatu yang tak mungkin dapat,
Bagai melempar pancing tiada berumpan,
Hanya kepastian menguatkan semangat.

Pemancing itu,
Luruh hatinya,
Pulang dengan perasaan hampa,
Tiada kata dapat diungkap.